DORAEMON
Doraemon ialah siri kartun Jepun mengisahkan tentang Doraemon dan Nobita bersama Suzuka, Giant dan Suneo. Walau ia cuma cerita dongeng (sebab mana ada kucing warna biru hahaha) tetapi ia sebuah penceritaan yang sangat menarik. Doraemon sering diangkat sebagai penyelamat dan sahabat baik kepada Nobita. Doraemon juga ibarat orang kepercayaan ibu bapa Nobita. Andai Doraemon bersama, Nobita bebas ke mana saja bila-bila masa. Tetapi hari ini, aku nak highlight nilai kekeluargaan di dalam masyarakat di Asia (mungkin juga di dunia) ketika siri ini diperkenalkan iaitu circa 1980-an.
Watak kanak-kanak yang ditonjolkan ialah watak tunggal walau Giant dan Suneo mempunyai adik-beradik yang lain tetapi watak ahli keluarga lain kurang ditonjolkan. Mungkin kemajuan teknologi ketika itu terhad. Penghasilan karya yang mempunyai banyak watak memerlukan masa dan tenaga lukis yang banyak. Maka semua watak utama kekal tunggal dengan sesekali diselitkan adengan kekeluargaan dan masyarakat.
NOBITA; watak utama, anak tunggal yang tidak pandai berdikari dan Doraemon ialah penyelamatnya. Mak Nobita yang agak lurus, baik hati dan suri rumah sepenuh masa mungkin membuatkan Nobita tidak pandai mempertahankan diri apabila dibuli oleh Giant dan selalu terkena dengan Suneo. Orang Puteh kata like mother like son kerana Nobita sendiri tidak pernah melihat mak dia melawan apabila orang sekeliling bergosip dan sebagainya... Bapa Nobita menampilkan sisi suami yang baik, penyayang dan bertanggungjawab. Selepas waktu bekerja akan segera kembali ke rumah, makan dan meluangkan masa membantu isteri dan Nobita membuat kerja rumah.
SUZUKA; anak tunggal di dalam keluarga yang sempurna. Cantik, pandai, kaya dan ibu bapa penyayang. Ibu bapa Suzuka menampilkan susuk keluarga elit yang berjaya dan kaya tetapi penuh kasih sayang, adab dan dihormati oleh masyarakat. Bahkan di rumah juga mereka hidup harmoni dan memuliakan tetamu. Justeru itu, Suzuka sering tampil dengan imej yang sopan dan beliau merupakan crush kepada Nobita, Suneo dan Giant.
SUNEO; mempunyai adik-beradik tetapi sisi adik-beradik Suneo kurang diberi perhatian. Ibu Suneo agak opportunist maka sifat ini boleh dilihat di dalam diri Suneo memiliki sikap pandai mengambil kesempatan. Namun, Suneo juga tidak terlepas dari dibuli oleh Giant haha. Bapa Suneo agak konservatif dan kurang bergaul dengan jiran tetangga tetapi beliau masih menyayangi keluarganya, tiada unsur pengabaian atau penindasan yang ditonjolkan.
GIANT; satu nama yang digeruni. Imej kanak-kanak yang berbadan lebih besar dari kanak-kanak seusianya. Oleh demikian, Giant menggunakan kelebihan ini sebagai satu platform untuk mendapat kuasa membuli kanak-kanak seusianya. Namun demikian, mak Giant tetap tidak menyebelahi Giant jika didapati Giant membuli kanak-kanak lain. Giant tetap diajar secukupnya untuk memberi pengajaran bahawa perbuatan tersebut tidak baik. Mak Giant dan Mak Nobita berkawan baik.
Akan tetapi selepas tahun 2000, aku mendapati lanskap kekeluarga dan masyarakat mula berubah. Kasih sayang antara keluarga dan masyarakat semakin menipis. Bahkan drama dan filem mula menonjolkan sisi ganas, domestic violence (keganasan rumah tangga), penderaan kanak-kanak, pemerdagangan manusia dsb mula meresap ke dalam siri TV dan filem. Bukan hanya di Malaysia tetapi juga di negara kaya budaya dan budi pekerti seperti Korea dan Jepun juga tidak terkecuali. Filem seperti A Man From Nowhere misalnya menunjukkan dunia sudah kejam dengan kanak-kanak. Negara Jepun pula mula tampil dengan unsur-unsur keganasan dengan menghasilkan lebih banyak drama dan filem berlatar belakang yakuza.
Budaya barat yang menonjolkan keganasan, tidak menghormati antara satu sama lain dan tidak mengambil berat hal ehwal jiran tetangga serta keluarga mula meresap di Asia. Tambahan pada masa kini, budaya ini dilihat seakan satu kebiasaan di dalam masyarakat. Masyarakat hari ini mungkin sibuk dengan kehidupan dan pekerjaan masing-masing menyebabkan ia sedikit sebanyak menjadi barah di dalam masyarakat. Hasilnya ada jiran tetangga dan saudara mara kita yang mungkin menjadi mangsa keganasan dan pengabaian diabaikan dan disembunyikan kerana malu dan tiada pilihan :(
Kadang kala kita rindu suasana yang harmoni masa zaman kanak-kanak kita. Tanpa sedar kita mengakui bahawa zaman kanak-kanak kita seronok dan bahagia bukan hanya kerana ia memang zaman itu tetapi keindahan masyarakat ketika itu... Keluarga seperti di dalam siri Doraemon, walau mak Nobita pok pek pok pek dan Giant suka membuli orang tetapi cerita situ habis situ. Ayah Nobita balik kerja makan di rumah, Giant balik rumah kena marah dengan mak dia sebab suka buat orang. Malam-malam kita semua tidur lena, tak pernah terfikir jiran tetangga kena sebat atau ada anak jiran tidur dalam pengabaian.



Comments
Post a Comment