PRU 14 #MalaysiaMengundi #IniKaliLah

See you when we want to see you, again...
Arwah abah saya lahir pada tahun 1931 dan UMNO ditubuhkan pada tahun 1946. Rasional UMNO ditubuhkan ialah untuk menyatukan orang-orang Melayu di Malaya yang pada ketika itu berpecah belah dan juga untuk memperjuang kemerdekaan Malaya selepas Perang Dunia kedua. 

Oleh kerana itu, arwah abah saya telah menjadi ahli UMNO sejak tahun 1950 dan dia bertekad untuk menjadi ahli seumur hidup UMNO kerana perjuangan yang diperjuangkan oleh UMNO pada ketika itu relevan dengan kehendak semasa. 
Arwah abah saya juga tidak pernah gagal memilih di pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sejak tahun 1955 lagi. 

UMNO-BN memang menguasai kehidupan arwah abah saya. Bahkan kami seisi keluarga dibesarkan, disekolahkan di sekolah kerajaan sepenuhnya dan diberi pendedahan dan wajib menghormati pemimpin BN sewajarnya. UMNO-BN merupakan hero di mata arwah abah saya kerana ia satu parti yang merealisasikan aspirasi Malaysia pada hari ini. 

Arwah abah saya juga bekas penjawat awam dan berkhidmat dengan Malayan Railways yang kini dikenali sebagai KTMB. Oleh demikian, kami mengkagumi kerajaan UMNO-BN kerana ia juga merupakan kerajaan/majikan kepada arwah abah saya. Banyak faedah yang telah kami nikmati daripada pemerintahan mereka.
Saya, dilahirkan pada tahun 1985 dan arwah abah saya pencen kerja keretapi pada tahun 1986. Oleh demikian, saya dan arwah abah banyak masa bersama berbanding abang dan kakak saya. Arwah abah yang menguruskan persekolahan saya dengan pencen pada ketika itu sebanyak RM 588.00 
Melihatkan kesenangan arwah abah melewati hari tuanya tanpa perlu bekerja keras mencari rezeki kerana arwah berpencen, ia membuatkan saya tekad untuk meneruskan legasi keluarga dengan berkhidmat dengan kerajaan Malaysia. Alhamdulillah, impian dan cita-cita saya dimakbulkan Illahi. 
Hari berlalu, Malaysia semakin maju. Perjuangan UMNO-BN juga berubah seiring peredaran zaman. Arwah abah juga dipanggil Illahi pada tahun 2012 pada usia 80 tahun. Jadi anda bayangkanlah berapa lama bakti UMNO-BN di dalam kehidupan kami sekeluarga bahkan sehingga kini mak saya masih mendapat manfaat pencen terbitan. 

Namun demikian, saya anak muda yang rebelious, agresif. Saya inginkan sedikit perubahan kerana saya rasa kehidupan kini terlalu menyesakkan. Saya berharap perubahan ini akan dapat memberikan sedikit ruang buat kami, anak muda dan anak-anak kami di masa depan. 

Akan tetapi, jauh di dalam hati saya sangat sedih dengan gelombang #PRU14. Ia melenyapkan semua perjuangan orang terdahulu, menidakkan semua kebaikan yang telah ia berikan kepada kita semua. Saya berasa sedih buat arwah abah saya. Andai arwah masih hidup pastinya arwah juga kecewa. 
Tsunami ini bukanlah suatu kegembiraan total buat saya. Saya juga bersedih dan sebagai penyojong tegar UMNO-BN, hati saya hancur. Tapi saya kecewa dengan perjuangannya yang sudah jauh tersasar dan inilah yang kami, anak muda lakukan. 

Terima masih UMNO-BN di atas perjuangan cemerlang selama 60 tahun ini. Terima kasih kerana pendidikan, kesihatan, kemakmuran, kemerdekaan, kebebasan.. Terima kasih buat semuanya. 

Sebagai penjawat awam, siapa jua yang memerintah negara, saya tetap akan menurutkan taat setia serta menurut perintah. Tahniah buat semua anak muda Malaysia. Hargailah perjuangan orang-orang terdahulu dan teruskan berjuang untuk masa depan anak cucu kita. 

UMNO-BN selamanya di hati ♡. Maaf cheq abah, cheq selalu mengecewakan abah. 

Comments

Popular Posts