Taman Negara Pulau Pinang (Penang National Park)

 Assalamualaikum & salam sejahtera readers :)

Entri ini aku dedikasikan untuk my knight, MN. Terima kasih kerana meluangkan masa mu, memberi kepercayaan untuk diri ku untuk kita lalui jalan yang paling azab, menyediakan kelengkapan serta memberi sokongan di sepanjang perjalanan. 

I love you to the moon and back

Taman Negara Pulau Pinang terletak di Teluk Bahang, Pulau Pinang. Ia dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang. Pintu utama taman negara akan ditutup dari jam 7.30 malam sehingga jam 8.00 pagi. Jadi sekiranya anda memasuki taman negara pada sebelah petang, sila rancang masa perjalanan anda supaya anda kembali di trek permulaan sebelum jam 7.30 malam atau anda pulang dengan bot (melalui pesisir pantai).

Pelawat boleh datang ke taman negara menggunakan pengangkutan awam atau kenderaan sendiri. Terdapat perkhidmatan bas henti-henti iaitu Rapid Penang laluan Komtar-Teluk Bahang atau Jeti-Komtar-Teluk Bahang yang akan terus menuju ke taman negara. Teksi/ grab car juga mudah diperolehi di taman negara. Gerai makanan dan minuman juga ada di sekitar ini untuk anda mengalas perut sebelum memulakan perjalanan dan selepas tamat hiking.


Persediaan untuk hiking di Taman Negara Pulau Pinang
  1. Sarapan/ makan makanan berprotein tinggi sebelum hiking.
  2. Melakukan senaman ringan/ regangan kaki.
  3. Memakai kasut (samada kasut hiking atau kasut sukan) dan sebaiknya memakai compression socks.
  4. Kayu hiking (stick poles)
  5. Pakaian serap peluh & baju salin.
  6. Bawa bekalan air kosong sekurangnya 1.5L bagi seorang pendaki.
  7. Minuman isotonik / salt candy / buah-buahan.
  8. Bekalan makanan ringan / makanan berprotein tinggi.
  9. Pisau/ parang kecil.
  10. Ubatan seperti bandage/minyak panas
  11. Sunscreen, sunglasses & topi.
Selamat ke hiking di Taman Negara Pulau Pinang?
Insha-Allah, selamat. Kehadiran anda ke taman negara ini didaftarkan semasa anda membuat bayaran untuk memasuki taman negara.
Laluan untuk hiking juga disediakan tali yang besar dan kuat untuk menyokong pergerakan anda di sesetengah laluan yang curam. Penanda arah juga disediakan di sepanjang laluan untuk memimpin anda sehingga ke Pantai Kerachut. Samada anda hiking pada hari bekerja atau hari minggu, anda akan bertemu dengan pendaki yang lain pergi dan balik dari taman negara ini. Jadi sekiranya berlaku tragedi yang tidak dijangka, anda masih mempunyai talian hayat kedua.
Perkhidmatan talian telefon dan internet TIADA mulai 1km ke/dari Pantai Kerachut. Pantai Kerachut juga TIADA TANDAS, TIADA RUMAH REHAT, TIADA SUMBER AIR BERSIH & TIADA ELEKTRIK. Jadi rancang perjalanan dan keperluan kendiri anda sebaiknya.


AMARAN !
Jika pertama kali mencuba aktiviti hiking, aku nasihatkan anda elak menggunakan laluan Pasir Pandak-Sg. Tukun-Pantai Kerachut. 
  • Laluan ini mendaki, mendaki dan mendaki dengan kecuraman yang agak mencabar. 
  • Struktur muka buminya juga bergaung dan jalan akan menjadi sangat licin jika hari hujan.
  • Hampir tiada pelawat yang melalui laluan ini dan sangat merbahaya jika anda mendaki sendirian (solo hiker). Kami melalui kawasan ini dengan 2 orang pelancong Jerman yang tidak fasih berbahasa Inggeris jadi kita jaga kita :)
  • Pokok besar dan berduri hampir di sepanjang 2.5km perjalanan dan jika anda tiada pisau/ parang, kemungkinan anda perlu mengharungi celahan dahan pokok yang tumbang atau daun pokok berduri yang menjalar. 
Sekiranya anda berhasrat untuk melihat keajaiban Sg. Tukun, aku menyarankan anda melakukan laluan Pasir Pandak-Sg. Tukun-Pasir Pandak-Pantai Kerachut. 
Anda boleh pergi ke Sg. Tukun dan kembali semula ke check point Pasir Pandak untuk meneruskan perjalanan ke Pantai Kerachut. Jarak antara Pasir Pandak-Sg. Tukun-Pasir Pandak lebih kurang 20 minit perjalanan.

Jika anda memandu ke taman negara, anda boleh parkir di sini dengan caj RM4.00 sekali parkir. Di sini juga terdapat kemudahan mesin ATM jika anda memerlukan wang tunai segera. Insha-Allah kenderaan anda selamat di sini kerana ia kawasan berpagar.

Selain aktiviti hiking, di sini juga disediakan perkhidmatan pick-up selepas hiking melalui laut (bot) dan juga pakej lawatan mengelilingi pulau/ tempat sekitar/ memancing. Harga bagi setiap pakej berbeza-beza dan anda boleh menghubungi nombor tertera untuk membuat tempahan atau walk-in di sini.

Pusat Informasi Taman Negara.
Sebelum memasuki taman negara, anda perlu mendaftar dan membayar caj masuk ke taman negara di sini.
Tandas/ bilik mandi ada disediakan di sini dan anda dinasihatkan untuk membuang air sebelum mendaki kerana di sini satu-satunya tandas awam yang disediakan. Tiada tandas awam di sepanjang pendakian sehingga anda kembali ke sini.
P/s: anda boleh buang air di dalam laut jika anda pandai berenang. LOL

Setiap pelawat yang selesai mendaftar dan membuat bayaran akan menerima hand tagging ini. Pelawat warganegara dewasa dikenakan caj RM10.00 seorang dan bukan warganegara ialah RM50.00 seorang.
Kanak-kanak, warga emas & OKU adalah PERCUMA bagi warganegara dan bukan warganegara.
Peserta khemah dikenakan caj berlainan dan maklumat lanjut boleh rujuk di portal ini.

Peta laluan begini memang banyak di sekitar pusat informasi taman negara untuk membantu anda merancang perjalanan ke Pantai Kerachut dan anggaran masa bagi perjalanan yang anda pilih.
Sekiranya anda menempah bot untuk pulang, bot akan membawa anda melawat beberapa kawasan sekitar di dalam perjalanan pulang ke pusat taman negara.

Ini merupakan laluan yang kami pilih untuk perjalanan pergi ke Pantai Kerachut; laluan Pasir Pandak -Sungai Tukun - Pantai Kerachut dan kami mengambil masa 2 jam 40 minit untuk sampai ke pantai.

Manakala semasa balik, kami memilih laluan Pantai Keracut - Pasir Pandak dan ia mengambil masa 1 jam 30 minit dan jarak perjalanan berkurangan sebanyak 1km. 

The journey begins


Di sepanjang jalan dari pusat taman negara ke Pasir Pandak ialah laluan kerusi roda. Sekiranya ada ahli keluarga anda yang ingin menikmati pemandangan laut aras tinggi tetapi tidak boleh hiking, anda boleh membawa mereka ke sini.

Beberapa kerusi batu turut disediakan untuk istirehat dan kami mengambil peluang ini untuk sarapan pagi dan bergambar sebelum meneruskan perjalanan sebenar.

Pemandangan laut dari Pasir Pandak. MasyaAllah sangat cantik dan tenang.
Ketika ini kami sangat teruja untuk meneruskan perjalanan kerana tidak menjangkakan bahawa kami bakal menempuh laluan yang sangat mencabar.

Perjalanan sebenar kami bermula di sini dan seperti yang anda sedia maklum bahawa kita boleh pergi ke Pantai Kerachut melalui Pasir Pandak-Sungai Tukun-Pantai Kerachut atau laluan terus Pasir Pandak-Pantai Kerachut.


Permulaan zon pendakian.

Sepanjang perjalanan menyusuri taman negara akan melalui tangga - anak sungai - laluan landai yang licin- laluan celah akar kayu - laluan celah batu. Jadi anda disarankan memakai kasut yang sesuai yang dapat memberi sokongan untuk kaki dan kestabilan badan anda.
Kasut yang terlalu berat akan menyebabkan anda cepat berasa letih ketika berjalan.
Kasut yang terbuka mungkin memberi risiko kecederaan di kaki kerana tersadung akar pokok, anak pokok yang berduri atau melecet.

Makluman bahawa anda berada di dalam kawasan taman negara dan anda tertakluk di bawah undang-undang taman negara yang telah digazetkan.
Antara perkara yang dilarang di taman negara ialah anda tidak boleh merokok dan anda tidak boleh membuang sampah di dalam kawasan taman negara.

Alhamdulillah, kami tiba di destinasi pertama iaitu Sg. Tukun.
Di sini anda sudah boleh nampak kelibat monyet (monyet di sini tidak menghiraukan pelancong tetapi jaga makanan/ minuman dan barang peribadi anda sebaiknya), umang-umang bangkai dan burung helang itik.


Sebenarnya kami tidak menjangkakan bahawa laluan Pasir Pandak-Sungai Tukun-Pantai Kerachut begitu azab buat kami. Jadi mari kita layan perjalanan ini...


Keunikan Sungai Tukun ialah ia merupakan sungai yang menjadi pertembungan di antara air tawar (mata air sungai) dan air masin (air laut). Fenomena ini ialah kejadian alam semulajadi dan ia agak sukar ditemui di mana-mana kawasan di dunia ini.
Taman Negara Pulau Pinang antara lokasi di dunia ini yang memiliki keajaiban alam ini. 

Terdapat kawasan takungan air (empangan kecil) untuk mengempang air Sungai Tukun bagi kegunaan pelawat yang berkhemah di sini atau pelawat yang ingin membasahkan badan (boleh mandi tetapi tiada tempat persalinan).

Makluman untuk pelawat yang bermalam di Sungai Tukun dan di sini terdapat beberapa lot tapak perkhemahan. Namun demikian, kawasan ini agak suram dan mungkin ia sudah tidak sesuai untuk aktiviti perkhemahan.

Sepanjang perjalanan anda akan menjumpai tanda seperti ini untuk menunjuk arah laluan yang perlu anda lalui. Pita keselamatan dan tali juga disediakan di beberapa lokasi curam/ merbahaya untuk membantu anda meneruskan perjalanan.


Selain fenomena alam semulajadi, laluan Sungai Tukun suatu ketika dahulu terkenal dengan titian kanopi (canopy walk). Titian kanopi membolehkan anda meredah hutan dengan mudah tanpa melalui kawasan pendakian dan batuan licin serta dapat menikmati pemandangan hutan dari kawasan yang lebih tinggi.
Namun kini, titian tersebut ditutup kerana keadaannya yang uzur dan beginilah rupa titian tersebut. 

Oleh kerana ini merupakan aktiviti hiking pertama di dalam hidup aku dan kami menempuh laluan yang sangat mencabar fizikal dan mental kami. Banyak masa kami habis dengan berehat di setiap zon pendakian. Langkah kaki harus panjang-panjang untuk menjangkau batang pokok yang besar dan jurang antara satu step ke step berikutnya kerana struktur muka bumi di kawasan ini yang berbukit/ berbatu. Jika hari hujan, jalan akan menjadi lebih licin ditambah dengan struktur muka bumi yang bergaung. 

Namun demikian, pujian diberikan kepada pihak pengurusan taman negara kerana menyediakan wakaf/ tempat rehat yang banyak di sepanjangan laluan terutama di setiap check point (titik pertemuan/ pemisah laluan). Ia sangat membantu untuk kami duduk berehat, makan buah dan minum sebelum meneruskan langkah. 


Alhamdulillah :)
Setelah hampir separuh nyawa dan terasa seolah ingin berputus asa. Akhirnya kami tiba di separuh perjalanan menuju ke Pantai Kerachut. Laluan seterusnya masih mencabar namun ia seimbang kerana struktur jalan yang agak  landai walau berbukit tetapi lebih santai. 

Sepanjang perjalanan anda akan ternampak papan tanda sebegini yang menceritakan tentang tumbuh-tumbuhan, haiwan yang terdapat di taman negara dan juga sejarah kawasan yang anda lalui. 


Beginilah kawasan Batu Belah tersebut.

Alhamdulillah :)
 Check point seterusnya dan ia menandakan bahawa anda sudah menghampiri Pantai Kerachut.
Ayuh, kuatkan semangat!

10 ribu langkah bermula dengan langkah pertama...
Come on and keep on walking!

Okay, apabila tiba di persimpangan ini anda boleh memilih samada ke Pantai Kerachut melalui fast lane iaitu laluan Pantai Kerachut atau ke Teluk Kampi-Pantai Kerachut melalui laluan tapak perkhemahan, Teluk Kampi.
Kami memilih laluan fast lane Pantai Kerachut.


Semakin menghampiri Pantai Kerachut, anda akan menemui petanda ini. Tapi sedia maklum bahawa jarak 1km di kawasan mendatar TAK AKAN SAMA seperti 1km di kawasan berbukit.

Tiba di petanda ini, kami sudah mula merasai bayu laut dan di sini telefon kami sudah tidak berfungsi untuk perkembangan dunia luar.


Semakin menghampiri Pantai Kerachut...

Alhamdulillah!
Kami ambil masa 2 jam 40 minit untuk sampai ke sini.
Ia seribu satu pengalaman yang tak akan dapat dilupakan.





Keistimewaan Pantai Kerachut ialah Tasik Meromiktik.
Ia merupakan sebuah tasik yang wujud dan terkandung air tawar dan air masin.
Manakala air-air ini mempunyai tahap ketumpatan yang berlainan dan menjadikannya TIDAK BOLEH LARUT BERSAMA atau bahasa mudahnya ia terpisah dua lapisan. Satu lapisan air masin dan satu lapisan air tawar tetapi di dalam tasik yang sama. Menarik kan? 
Namun demikian, fenomena ini terbentuk pada bulan-bulan tertentu saja dan ketika kunjungan kami, tasik ini kering kontang kerana faktor cuaca di utara semenanjung yang panas dan air laut yang surut. 


Pemandangan Pantai Kerachut.
Serius sangat cantik dan angin memang kuat tapi kami tak dapat menikmatinya kerana terlalu letih... Kami hanya dahaga dan alangkah seronoknya jika dapat minuman sejuk dan tidur sejam dua jam :(



Sekiranya anda menempah bot untuk pulang ke pusat taman negara, ada jeti disediakan dan anda perlu menunggu bot anda tiba. Sekiranya anda tidak mampu untuk berjalan dan berhasrat untuk menaiki bot pulang ke pusat taman negara, anda boleh terus berhubung dengan pemandu bot. Tetapi bayaran yang dikenakan mungkin agak mahal kerana anda tidak menempah di awal perjalanan.

Laut Pantai Kerachut kurang sesuai untuk aktiviti berenang kerana ia berbukit dan anda terus terjun ke kedalaman laut yang anda sendiri tidak terjangka. Bendera merah (tanda amaran) ada dikibarkan di sepanjang daratan. Tiada tandas awam/ rumah rehat disediakan di sini. Anda hanya boleh berteduh di bawah pokok dan perlu kembali ke pusat taman negara untuk mandi dan membuang air. 

Di hujung Pantai Kerachut ada pusat pemeliharaan penyu. Anda boleh meneruskan lawatan ke tempat tersebut dan melihat bagaimana penyu diternak, menetas dan dilepaskan ke laut. 

Sekiranya anda meneruskan perjalanan lebih kurang 20 minit lagi, anda akan tiba di Pantai Kampi. Di situ, anda boleh berkhemah (daftar dan bayar di pusat taman negara) dan dari sini anda boleh melalui laluan yang disediakan untuk kembali ke pusat taman negara. 

Setelah setengah jam merehatkan diri, minum dan menjamah sedikit makanan untuk mendapatkan tenaga. Kami meneruskan perjalanan pulang melalui laluan Pantai Kerachut-Pasir Pandak-Pusat Taman Negara.

Laluan ini sesungguhnya jauh berbeza dengan laluan Sungai Tukun. Ia agak santai walau berbukit. Semangat untuk meneruskan perjalanan semakin membara walau sesekali kami terpaksa berehat untuk memastikan kami kekal fit di dalam perjalanan.

Selamat tinggal Pantai Kerachut dan Sungai Tukun.
Terima kasih untuk pengalaman yang sangat berharga.


Kami telah 2km meninggalkan Pantai Kerachut dan ini menandakan kami sudah 2/3 perjalanan untuk kembali ke pusat taman negara.
Muka masing-masing sudah kembali senyum :)

Alhamdulillah...
1 jam 30 minit kemudiannya kami tiba di Pasir Pandak.
Cuaca panas lit-lit dan air laut sudah pasang. Badan kami dehydrated kerana kami tidak membawa bekalan air mencukupi ditambah kesilapan memilih laluan.

Ya, sampai jumpa lagi...

Keseluruhannya aku bagi 8/10 untuk pengalaman pertama ini. Kekurangan terbesar di kawasan taman negara ialah tiada kemudahan asas utama di Pantai Kerachut. Mungkin ini polisi taman negara dan aku harap di masa akan datang akan ada penambahbaikan yang akan dilakukan.

Manakala kekurangan di pihak kami ialah pemilihan laluan yang sukar, bekalan air tidak mencukupi, sarapan pagi yang tidak memberikan banyak tenaga. Namun demikian, kami tetap gembira kerana impian untuk menjejakkan kaki ke sini terlaksana. Banyak pengalaman yang kami perolehi untuk kami perbaiki jika kami berhasrat untuk hiking di kawasan lain selepas ini. 

Pihak taman negara juga sebaiknya mengkaji dan mengadakan semula laluan kanopi seperti mana di Taman Negara Pahang. Aku pasti jika laluan kanopi ini dibangunkan semula, kita akan dapat melihat lebih banyak habitat haiwan di atas pokok disamping menikmati pemandangan hutan hujan pantai dari kawasan tinggi.

Jadi aku seru warga Malaysia untuk menghabiskan RM10.00 anda di sini dan menikmati keindahan alam serta fenomena semulajadi yang negara kita miliki. Kepenatan anda sangat berbaloi dan anda pasti akan mendapat banyak pengalaman baru serta kenangan untuk diceritakan kepada generasi akan datang.

The end and thanks for reading :)

Comments

Popular Posts